Wednesday, February 24, 2010

BAB 3

Mesyuarat Majlis Presiden PMRAM dijangka akan bermula pada jam 8.00 pagi. Notis mesyuarat sudah disiapkan kepada semua Majlis Presiden dan diserahkan tiga hari sebelum mesyuarat berlangsung.

Aiman Izzat meninggalkan rumah di dalam keadaan tergesa-gesa. Dia mencapai buku minit mesyuarat yang terletak di atas meja Setiausaha Agung. Dalam mesyuarat sebegini, Setiausaha Agung akan diamanahkan sebagai setiausaha sidang mesyuarat.

Segala peralatan dan alat tulis rasmi dimasukkan ke dalam beg sandang. Telefon bimbit yang terletak di atas laci bilik masih kemas tidak terusik. Dia segera melangkah ke luar. Lari-lari anak.

Di persimpangan rumah, dia meraba-raba saku seluar, "Mana aku punya telefon ini?" seru Aiman di dalam hatinya.

Selepas puas mencari dan tidak bertemu dengan telefon bimbitnya itu, dia terus segera ke jalan besar mendapatkan kenderaan awam.

Sebuah teksi hitam ditahannya, "Ya Ammu, Hayyu Sabie, insya-Allah." Aiman mengarahkan tempat yang ingin ditujunya. Kemudian, pemandu teksi itu memberi tanda setuju untuk mengambil penumpang.

"Min aina anta?" Pemandu teksi memulakan bicara.

"Ana min Malizia."

Ada perbualan kecil yang berlaku. Pemandu teksi yang peramah itu bertanyakan tentang negara Malaysia, bilangan penduduknya, agama anutan penduduknya dan bermacam-macam lagi.

Pemandu itu meneruskan perbualannya, "Kamu hafiz Al-Quran?"

Aiman menggeleng. Diam sejeda.

"Alangkah indahnya jika anak muda seperti kamu dapat menghafaz Al-Quran keseluruhannya. Bukankah kamu tahu Al-Quran adalah mukjizat daripada Allah Taala yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad. Al-Quran adalah nur yang paling berharga. Malah, beriman kepada ayat suci ini juga adalah salah satu daripada rukun iman yang wajib kita taati sebagai seorang Muslim." Pemandu teksi itu mengutarakan pandangannya tentang kelebihan kitab suci Al-Quran.

Aiman mengangguk-angguk kecil. Barangkali membenarkan percakapan dan pertuturan yang diungkapkan oleh pemandu teksi itu.

Dalam hatinya, dia bersuara, "Indahnya hidup ini. Seorang pemandu teksi kecil pun mampu memperjelaskan tentang hal ehwal agama. Jika semua orang yang menaiki kenderaan pemandu tersebut, tentu banyak ilmu yang akan diperolehinya."

Sepanjang perjalanan, banyak kisah-kisah yang dapat dikongsi bersama. Ada cerita dan hal ehwal dunia. Ada cerita tentang umat Islam di bumi Palestin yang masih ditindas. Ada pula hal cerita politik dunia Mesir dan kepimpinan Hosni Mubarak selaku Presiden Mesir pada waktu itu dikongsi bersama.

Di hadapan, seorang pengemis muda melintas jalan. Aiman memerhatikan gelagat pengemis muda itu. Dia melihat sekeliling dengan pandangan yang tajam. Dia terharu. Melihat fenomena pengemis di jalanan yang entah dari mana tetapi terbit di mana-mana. Ada sahaja di kanan dan kiri jalan.

Selekoh dan jalan masuk ke Asrama Pelajar Kelantan sudah dimasuki. Aiman mengarahkan pemandu untuk memperlahankan kenderaan sambil menunjukkan arahan berhenti tatkala menghampiri tempat yang ingin dituju.

Dia mengeluarkan not kertas lima genih dan mengucapkan salam terima kasih kepada pemandu teksi itu.

Pemandu teksi itu membalas, "Afwan."