Monday, December 21, 2009

BAB 2

MARKAZ Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) sibuk dengan tetamu. Ada yang datang dari Iskandariah, Mansurah dan ada yang baru mampir dari asrama pelajar yang terletak di kawasan Hayyu Sabie dan Hayyu Asyir.

Suara berbisik-bisik di selang-seli dengan hilai tawa kecil mahasiswi yang melawat markaz HEWI pada petang itu mengusik kedamaian. Rata-rata mahasiswi singgah ke markaz HEWI semata-mata membeli t-shirt, buku-buku ilmiah, dan beg yang dijual oleh persatuan.

Hinggar tiba-tiba.

Fatimah Salwani dan Nur Maisarah masuk ke dalam markaz HEWI. Masing-masing membimbit beg kecil yang kemas di sisi mereka.

Ucapan salam didahulukan. Kemudian, mereka melaga-laga pipi sebagai tanda ukhuwah persahabatan dengan tetamu.

"Sihat ya ustazah?" Seorang mahasiswi yang berada di dalam markaz menyapa dengan salam hormat.

"Sihat saja. Alhamdulillah. Sudah lama di markaz? Ana dari Maktabah Darus Salam. Beli buku sekejap. Itu yang lambat pulang ke markaz." Fatimah Salwani mengulas.

"Kami dah lama. Nak balik dah pun. Pagi tadi dari Iskandariah. Terus ke markaz HEWI. Borong apa yang boleh di sini." Mahasiswi yang melawat markaz HEWI itu ramah seketika.

Fatimah Salwani dan Nur Maisarah adalah pemimpin mahasiswi di Mesir. Fatimah Salwani ditugaskan sebagai Ketua HEWI manakala Nur Maisarah pula sebagai Setiausaha HEWI. Mereka berdua menetap di bangunan HEWI.

Selepas melayan beberapa tetamu dan rakan-rakan yang melawat markaz pada petang itu, Fatimah Salwani terus masuk ke dalam bilik pentadbiran.

Dia terus mencapai beberapa nota penting di dalam biliknya. Ada beberapa catatan yang di ambil perhatian. Surat jemputan merasmikan program, surat jemputan menghadiri program bersama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah semuanya di simpan kemas. Takut-takut lupa temujanji yang telah diterima melalui surat itu.

Haida baru keluar dari tandas. Dia masuk ke dalam bilik Ketua HEWI.

"Lambat kakak balik? Ida dari tadi menunggu. Ingatkan kakak ada mesyuarat tadi?" Haida memulakan bicara.

"Maaf Ida, tak ada siapa yang bantu Ida tadi di markaz. Ramai pula yang datang membeli barang di sini. Kalau Ida telefon pada kakak, cepat-cepat akak balik."

"Tak mengapa. Tak ada masalah pun kak. Bukan ramai sangat yang ada pun. Biasalah, petang-petang begini, masing-masing nak kejar sebelum masuk waktu Maghrib." Haida menjelaskan.

Fatimah menyambung lagi, "Ada masalah apa-apa hari ni?"

"Oh ya. Baru Ida teringat. Tadi presiden telefon, minta akak hadir ke mesyuarat Majlis Presiden esok pagi. Jam 7 pagi di Asrama Rumah Kelantan."

Fatimah mengerling manja ke arah Haida. Kening kirinya di naikkan sedikit.

"Presiden ni suka maklumkan lambat pada akak. Nanti banyak pula perkara yang akak terlepas pandang nak disuarakan," Fatimah menyuarakan rasa kecil hatinya.

"Ala biasalah kak, nak buat macam mana. Kita orang perempuan, manalah mereka nak ingat pada kita." Nur Maisarah yang berada di sisi menambah.

Haida yang dari tadi mendengar bicara mereka menyampuk dengan bahasa Indonesia, "Sudah, jangan ribut-ribut... laksanakan saja tanggungjawab kita."

"Sam-u Wat To'ah." Ketiga-tiga mereka jawab serentak kemudian gelak kecil sama-sama.

***




Monday, December 7, 2009

BAB 1

“Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung.”

Kitab suci al-Quran ditutup. Aiman Izzat meletakkannya di atas meja kecil. Dia mencapai tuala mandi lantas melulu masuk ke dalam bilik mandi. Sejurus, dia menyiapkan diri sebelum bergerak ke kuliah. Kitab Tafsir Ayat Ahkam dicapai dan dimasukkan ke dalam beg. Kemas dan terkejap di sisinya.

“Awal Aiman hari ini? Nak cepat-cepat ke mana?” Rushdi menyapa.

“Ada sedikit urusan di kuliah pagi ini. Ana mahu membayar yuran pengajian yang masih belum dijelaskan. Kalau lambat tentu kena tobur panjang…” Aiman mencelah.

Aiman Izzat mencapai baju sejuk yang tergantung kemas di dinding bilik lantas menyarungnya.

Aiman mengingatkan ahli baitnya di rumah, “Jangan lupa kunci pintu hadapan kalau keluar ke kuliah nanti.”

Dingin musim sejuk Kota Kaherah menampar-nampar pipi. Sesekali asap kecil terbina daripada hembusan nafas daripada mulut. Aiman Izzat menuju ke arah jalan raya besar untuk mendapatkan bas awam ke kuliah pagi itu. Kakinya melangkah laju. Gigil badan terus dihilangkan dengan menggosokkan kedua-dua belah tapak tangan untuk mengeluarkan haba.

Suhu bandar Kaherah tidak seperti semalam. Hari ini mencecah lima darjah celcius. Dia mengumam sebentar.

Di hadapan Masjid Rahmah Hayyu Sabie dia berdiri. Orang ramai mula mengisi ruang perhentian bas itu. Di kanan, seorang warga tempatan Mesir sedang perang mulut dengan pemandu teksi. Barangkali sedang bertekak tentang penentuan kadar bayaran tambang teksi pada pagi itu, getus hatinya.

Dia memerhatikan sekeliling. Tiada kelibat seorang teman sekuliah. Fikirnya, musim dingin begini tiada yang berani keluar awal kerana kesejukkan.

Sebentar kemudian, bas bernombor lapan puluh palang berhenti. Dia cepat-cepat berlari kea rah pintu bas lalu bersama-sama menerima asakan penumpang lain yang ingin menaiki bas itu.

“Isbir ya walad!” Aiman Izzat mengingatkan seorang kanak-kanak kecil cuba menolak-nolak dari belakang. Dia amat kurang senang dengan perangai seperti ini.

Dua bulan lalu, tatkala menaiki bas yang sama inilah ada seorang warga tempatan bertumbuk di dalam bas kerana tidak senang dengan sikap bangsa sendiri bertolak-tolakkan.

Hari ini dia tidak mendapatkan tempat duduk. Lumrah. Terpaksa berdiri di dalam bas panjang itu. Bandar Kaherah tidak pernah sunyi daripada suasana dan hiruk pikuk di dalam kenderaan awam.

"Ta'al hena." Aiman Izzat memanggil seorang mahasiswi yang sedang berdiri di dalam bas mendapatkan tempat duduknya.

"Ustazah duduk depan sana. Ada kosong di sana." Dia menunjukkan satu ruang kecil yang berada di hadapannya.

"Syukran." Mahasiswi itu membalas dengan lirik senyuman manis.

Bas masih lagi bergerak. Laluan di hadapan Universiti Al-Azhar, cawangan banat sudah berlalu. Tetapi mahasiswi tersebut masih lagi belum turun daripada bas itu.

Dia tidak terdaya mahu berginjak ke kawasan hadapan mahasiswi itu kerana bas sesak dengan penumpang.

***

Di perhentian Darassah, orang ramai berulang-alik ke sana dan ke mari. Ada yang baru tiba dari kawasan Saidina Hussain; ada pula yang baru tiba dari kawasan Masjid Al-Azhar. Aiman Izzat turun daripada bas lalu berlari-lari anak ke pintu gerbang jamiah. Mahasiswi yang tadi sama-sama di dalam bas hilang entah ke mana. Barangkali sudah turun daripada bas di kawasan Abbasiah tadi, getus hatinya.

Pintu Kuliah Syariah sudah dibuka. Pejabat syuun pula masih lagi ditutup. Pegawai pentadbiran masih belum tiba. Ada kelibat mahasiswa yang sedang mundar-mandir di kaki lima bangunan pentadbiran. Jam sembilan pagi di tangan tidak semestinya operasi pentadbiran akan bermula. Barangkali lewat setengah jam daripada itu atau kekadang dua atau tiga jam melewati jam sembilan menjadi perkara biasa.

Perkarangan pejabat pentadbiran masih lagi seperti hari-hari sebelumnya. Seorang pembancuh teh masih lagi di dalam biliknya sambil bersiap-siap untuk menghidangkannya kepada pegawai pentadbiran sebentar nanti.

"Ammu! Syai wahid." Aiman Izzat sengaja berseloroh dengan pakcik pembancuh teh itu untuk meminta segelas minuman daripadanya.

Di bawah cahaya lampu yang malap, dia berdiri di hadapan bilik kecil. Menanti giliran untuk masuk bertemu dengan pegawai di dalam. Di hadapannya, lima orang sedang beratur kemas. Sebelum menunggu kehadiran pegawai pentadbiran dia mencapai sebuah kitab Tafsir Ayat Ahkam yang berada di dalam begnya. Sekurang-kurangnya mengambil peluang untuk murojaah pelajaran yang sudah dihadapi pada hari sebelumnya.

Seketika kemudian, dua orang masuk ke dalam kamar. Tiba-tiba suara Ammu Ramadhan, pegawai pentadbiran menerawang melingkari pejabat pentadbiran. Ada salam mukadimmah dan ada pula ucap maki-hamun yang dituturnya.

Usai menyelesaikan gilirannya, dia cepat-cepat ke bilik pembayaran yuran sebelum segera masuk ke kuliah untuk menghadapi pelajaran pada hari itu.




Sinopsis

Watak Utama
Aiman Izzat seorang mahasiswa Al-Azhar, Mesir.

Latar
Kaherah - Kuala Lumpur