Monday, December 21, 2009

BAB 2

MARKAZ Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) sibuk dengan tetamu. Ada yang datang dari Iskandariah, Mansurah dan ada yang baru mampir dari asrama pelajar yang terletak di kawasan Hayyu Sabie dan Hayyu Asyir.

Suara berbisik-bisik di selang-seli dengan hilai tawa kecil mahasiswi yang melawat markaz HEWI pada petang itu mengusik kedamaian. Rata-rata mahasiswi singgah ke markaz HEWI semata-mata membeli t-shirt, buku-buku ilmiah, dan beg yang dijual oleh persatuan.

Hinggar tiba-tiba.

Fatimah Salwani dan Nur Maisarah masuk ke dalam markaz HEWI. Masing-masing membimbit beg kecil yang kemas di sisi mereka.

Ucapan salam didahulukan. Kemudian, mereka melaga-laga pipi sebagai tanda ukhuwah persahabatan dengan tetamu.

"Sihat ya ustazah?" Seorang mahasiswi yang berada di dalam markaz menyapa dengan salam hormat.

"Sihat saja. Alhamdulillah. Sudah lama di markaz? Ana dari Maktabah Darus Salam. Beli buku sekejap. Itu yang lambat pulang ke markaz." Fatimah Salwani mengulas.

"Kami dah lama. Nak balik dah pun. Pagi tadi dari Iskandariah. Terus ke markaz HEWI. Borong apa yang boleh di sini." Mahasiswi yang melawat markaz HEWI itu ramah seketika.

Fatimah Salwani dan Nur Maisarah adalah pemimpin mahasiswi di Mesir. Fatimah Salwani ditugaskan sebagai Ketua HEWI manakala Nur Maisarah pula sebagai Setiausaha HEWI. Mereka berdua menetap di bangunan HEWI.

Selepas melayan beberapa tetamu dan rakan-rakan yang melawat markaz pada petang itu, Fatimah Salwani terus masuk ke dalam bilik pentadbiran.

Dia terus mencapai beberapa nota penting di dalam biliknya. Ada beberapa catatan yang di ambil perhatian. Surat jemputan merasmikan program, surat jemputan menghadiri program bersama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah semuanya di simpan kemas. Takut-takut lupa temujanji yang telah diterima melalui surat itu.

Haida baru keluar dari tandas. Dia masuk ke dalam bilik Ketua HEWI.

"Lambat kakak balik? Ida dari tadi menunggu. Ingatkan kakak ada mesyuarat tadi?" Haida memulakan bicara.

"Maaf Ida, tak ada siapa yang bantu Ida tadi di markaz. Ramai pula yang datang membeli barang di sini. Kalau Ida telefon pada kakak, cepat-cepat akak balik."

"Tak mengapa. Tak ada masalah pun kak. Bukan ramai sangat yang ada pun. Biasalah, petang-petang begini, masing-masing nak kejar sebelum masuk waktu Maghrib." Haida menjelaskan.

Fatimah menyambung lagi, "Ada masalah apa-apa hari ni?"

"Oh ya. Baru Ida teringat. Tadi presiden telefon, minta akak hadir ke mesyuarat Majlis Presiden esok pagi. Jam 7 pagi di Asrama Rumah Kelantan."

Fatimah mengerling manja ke arah Haida. Kening kirinya di naikkan sedikit.

"Presiden ni suka maklumkan lambat pada akak. Nanti banyak pula perkara yang akak terlepas pandang nak disuarakan," Fatimah menyuarakan rasa kecil hatinya.

"Ala biasalah kak, nak buat macam mana. Kita orang perempuan, manalah mereka nak ingat pada kita." Nur Maisarah yang berada di sisi menambah.

Haida yang dari tadi mendengar bicara mereka menyampuk dengan bahasa Indonesia, "Sudah, jangan ribut-ribut... laksanakan saja tanggungjawab kita."

"Sam-u Wat To'ah." Ketiga-tiga mereka jawab serentak kemudian gelak kecil sama-sama.

***




No comments:

Post a Comment